SYURA
بسم ا الرحمن الرحيم
Segala pujian bagi Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam ke atas sebaik-baik ciptaanNya Muhammad s.a.w.

Perbahasan ini bermula dengan tajuk (SYURA) mungkin sebab sebenarnya bukan kerana kehendakku sendiri tetapi atas perintah dari ahli jemaah Syura Paduka Baginda Ramizu Simpang Tiga Gelanggang Gurun. Baginda lebih suka agar kita memahami pengertian Syura dan dapat dilaksanakan di dalam kehidupan seharian. Dengan itu kita akan kaitkan maklumat lengkap dari Dalil Al-Quran, Sunnah dan Ijmak Ulamak.

Bab Pertama : Pengertian Syura
Pengertian pada bahasa : Hal keadaan Mesyuarat atau mengeluarkan pendapat dari seseorang.

Pengertian pada istilah syarak : Muafakat dalam satu keputusan dan sekiranya berlaku persalahan pendapat kembalilah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah untuk lebih menghampiri kebenaran.

Istimewa bagi ahli Syura itu hendaklah di kalangan orang yang Arif dan berpengalaman dalam apa sahaja bidang yang berkaitan dengan kemahiran mereka. Jika mesyuarat itu atas isu-isu agama, ahli syura hendaklah ada dari kalangan orang yang arif tentang agama. Begitu juga isu-isu yang lain tentang ekonomi dan sebagainya hendaklah mereka arif tentang bidang masing-masing.

Perkara ini telah tetap pada dalil yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menetapkan golongan tertentu sahaja sebagai ahli Syura. Baginda cuma mengenal pasti bidang kuasa masing-masing dalam kategori perundingan ketika mana diriwayatkan dengan nas yang masyhur bahawa ahli Syura Baginda adalah orang-orang yang berpengaruh. Mereka mengetahui bidang kuasa terhadap agama, bangsa dan Negara serta mampu memberi keterangan.

Pengertian ini berlaku kepada masing-masing dan setiap perundingan yang dilakukan baik di peringkat rumah tangga, atau negara, atau dalaman organisasi, atau organisasi antarabangsa yang mengilhami ketertiban umum Syura.
Bab Kedua : Hakikat Sebenar Syura

Hakikat sebenar Syura yang kita bahaskan ini ialah ketetapan sunnah mengikut hukum syarak. Kita merujuk kepada sumber asal Al-Quran dan Sunnah untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat. Hujah Al-Quran yang mewajibkan kita melaksanakannya dan satu keputusan bahawa ia menjadi perundangan Islam yang wajib dari segi ikutan sunnah dan dalil Al-Quran.

Firman Allah di dalam surah Ali Imran

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ٣:١٥٩

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (159)

Surah As-Syura menerangkan

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ ٤٢:٣٨

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya; (38)

Begitulah ayat yang mana Allah telah memerintahkan Nabi kita supaya bermesyuarat dengan kaum muslimin tentang apa sahaja urusan agama atau pun dunia. Surah As-Syura adalah satu-satunya surah yang  menegaskan kepentingan Syura di dalam Islam yang mana orang-orang yang berlindung di bawah Syura itu ialah orang yang sebenar-benarnya beriman dengan iman yang tulin. Ayat 38 surah ini menerangkan bahawa Syura adalah tunggak masyarakat yang menguatkan hubungan keislaman dan membuat keputusan bersama untuk kebaikan umum.

Di dalam mesyuarat terdapat 2 faedah :

1. Menyatukan hati dan menyebarkan rahmat untuk sekelian alam.
2. Membiasakan setiap individu muslim mematuhi keputusan Syura/Mesyuarat dengan contoh yang
ditunjuki oleh Rasulullah s.a.w. sebaik-baik contoh.

Dua ayat di atas adalah berkaitan dengan hukum syarak manakala terdapat ayat-ayat yang lain lagi menyatakan kepentingan Syura. Surah Taha menerangkan firman Allah :



وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي ٢٩ هَارُونَ أَخِي ٣٠ اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي ٣١

Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. (29) Iaitu Harun saudaraku; (30) Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, (31) Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, (32)

Di dalam kitab Hadis Imam Nasai daripada Al-Qasim bin Muhammad “Aku mendengar bapa saudaraku berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

أن نسى ذكره وإن ذكر أعانه " صالحا " جعل له وزيرا " فأراد ا به خيرا " من ولى منكم عمل

“Sesiapa yang menguruskan sesuatu tanggungjawab/pekerjaan dan Allah menghendakinya kebaikan,maka Allah akan menjadikan baginya seorang pembantunya yang soleh yang apabila dia lupa maka
diperingatkannya dan menyokongnya dalam urusan-urusannya”.

Juga sabdanya s.a.w.

ما بعث ا من نبي ول استخلف من خليفة إل كانت له بطانتان : بطانة تأمره بالمعروف وتحضه عليه وبطانة تأمره
بالشر وتحضه عليه فالمعصوم من عصمه ا

“Allah tidak mengutuskan nabi atau melantik khalifah melainkan untuknya dua jenis rombongan
pengapitnya : pertama, rombongan yang menunjukkan dan menggalakkan kepadanya kebaikan dan
kedua, rombongan yang menunjukkan dan menggalakkan kejahatan kepadanya. Maka sesiapa yang
terpelihara nescaya dia akan dipelihara oleh Allah dari kejahatan”.


Bab Ketiga : Syura Mengikut Sunnah

Jika Al-Quran Al-Karim menjadi sumber perundangan Islam dengan tidak ada khilaf lagi, maka hadis
atau sunnah pula menjadi sumber kedua sesudah Al-Quran. Sunnah adalah tafsir yang tepat untuk Al-
Quran dan melengkapi semua penafsiran yang menggunakan pendapat kita sendiri.

Berkaitan dengan Syura, bahawa sunnah atau hadis yang dikhabarkan oleh Abu Hurairah katanya :

لم يكن أحد أكثر مشورة لصحابه من رسول ا صلى ا عليه وسلم

“Tidak ada seorang pun yang terlebih banyak bermesyuarat dengan para sahabatnya daripada
Rasulullah s.a.w.”.

Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan mereka tentang perperangan dan perdamaian bahkan khusus di
dalam urusan dakwah seperti yang diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. telah bersabda :

أشيروا علي يا معشر المسلمين في قوم أبنوا أهلي ورموهم

“Bermesyuaratlah denganku hai kaum muslimin tentang satu kaum yang memfitnah ahli keluargaku
dan melemparkan tuduhan mereka terhadap ahli keluargaku”.

Maka Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid telah datang bermesyuarat mengenai tuduhan puak
munafikin terhadap Aishah r.ha. Itulah satu contoh yang mana Rasulullah s.a.w. mengambil pandangan
dari ahli Syuranya.

Kisah Syura dalam peperangan Badar

Bilangan ahli Badar yang mengikuti Rasulullah s.a.w. ialah 313 orang lelaki, 207 orang ialah kaum
Ansar dan 106 orang ialah kaum Muhajirin. Rasulullah s.a.w. mengadakan mesyuarat dalam
peperangan Badar di tiga tempat perhentian.

1. Sebelum pertempuran
2. Ketika pertempuran
3. Selepas pertempuran.

Tidak dibenarkan seorang pun memasuki medan pertempuran melainkan wajib bermesyuarat dahulu dengan Rasulullah s.a.w. . Kalau sekiranya Baginda tidak meminta pendapat dan kesanggupan mereka, nescaya tidak akan didapati seorang pun yang akan patuh hanya dengan arahan Baginda sahaja kerana mereka menghadapi tentera musuh yang lebih ramai dan lebih kuat.

Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan kaum Muhajirin, maka bangun Abu Bakr As-Sidiq, kemudian Umar pula bangun dan seterusnya sahabat-sahabat Muhajirin yang lain. Baginda juga tidak gagal untuk bermesyuarat dengan kaum Ansar kerana mereka telah berjanji di Madinah untuk mempertahankan dan melindungi kaum Muhajirin. Kaum Ansar menyangka bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mahu menggunakan mereka dan mereka pun sebenarnya tidak mahu berperang. Kerana itu Rasulullah s.a.w.
meminta pandangan mereka.

Saad bin Muaz ialah ketua Aus bahkan ketua kaum Ansar telah berkata :

كأنك تريدنا وا يا رسول ا ثم أعلن تأييد النصار ومبايعتهم على القتال

“Seolah-olah engkau Ya Rasulullah menghendaki kami”. Kemudian beliau pun mengisytiharkan kekuatan kaum Ansar dan membai’ah mereka untuk berperang.

Pada ketika rancak di medan pertempuran, berlaku pula bentuk mesyuarat yang lain. Datang Al-Munzir bin Hubab memberi cadangan dan pandangan kepada Rasulullah s.a.w. mengenai tempat yang sesuai untuk berehat dan berhenti seketika pertempuran. Rasulullah s.a.w. menyetujui cadangannya dan kaum Muslimin pun melakukan dengan patuh atas cadangan Al-Munzir bin Hubab.

Selepas kemenangan kaum Muslimin Baginda Rasulullah s.a.w. telah bermesyuarat kali ketiga tentang harta rampasan dan tawanan perang Badar. Baginda bermesyuarat dengan Abu Bakr dan Umar. Abu Bakr mencadangkan untuk menerima wang tebusan dari tawanan perang dan Baginda telah bersetuju dengan cadangan Abu Bakr bersalahan pula dengan cadangan Umar bahawa anak-anak kaum Muslimin masih ramai yang tidak tahu membaca dan menulis, maka seharusnya dijadikan tawanan itu untuk mengajar anak-anak kaum muslimin.

Manakala Ali pula tidak menyatakan pendapatnya sedangkan beliau salah seorang dari ahli Syura Rasulullah s.a.w. barangkali beliau lebih suka menunggu keputusan Rasulullah s.a.w. setelah melihat percanggahan pendapat antara Abu Bakr dan Umar. Setelah itu turun wahyu yang memberi keputusan untuk tidak mengambil wang tebusan tawanan perang dan menerima cadangan Umar.

Kesimpulan

Mesyuarat boleh dilakukan secara tidak rasmi atau secara rasmi. Contoh mesyuarat tidak rasmi
Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan para sahabatnya sambil menaiki kenderaan dalam perjalanan
dan ketika dalam medan pertempuran.

Mesyuarat rasmi dilakukan ketika perlantikan ketua atau khalifah dan juga khusus untuk bidang kuasa atau pengurusan seharian.

Kisah Syura dalam peperangan Uhud

Ketika Rasulullah s.a.w. mengetahui kemaraan tentera Quraish menuju ke Madinah, Baginda bermesyuarat dengan para sahabatnya apakah yang hendak dilakukan. Sebahagian mereka mencadangkan supaya kaum muslimin menghadapi musuh di luar Madinah. Ini adalah cadangan dari seorang pemuda Ansar yang tidak pernah menyaksikan peperangan Badar. Ketua golongan pemuda Maninah ini ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, bapa saudara Baginda s.a.w., Saad bin Ubadah dan Nukman bin Malik.

Manakala pendapat Rasulullah s.a.w. bahawa elok mereka tetap di Madinah kerana dapat mempertahankan bumi Madinah, mudah untuk mengepung musuh yang datang menyerang melalui lorong-lorong kecil dan dapat melindungi wanita-wanita serta kanak- kanak. Baginda juga berpendapat bahawa yang tinggal di Madinah ialah orang-orang yang lebih tua dikalangan Muhajirin dan Ansar.

Baginda memanggil Abdullah bin Ubai dan bertanya pendapatnya sedangkan sebelum itu Baginda tidak pernah meminta pendapatnya, maka pendapatnya seperti pendapat Rasulullah s.a.w. Di sebaliknya berlaku percanggahan yang terjadi dari pendapat ramai pemuda yang mempunyai semangat untuk syahid di medan pertempuran dan bertekad untuk keluar dari Madinah berperang.

Dibimbangkan kaum muslimin Ansar akan banyak yang terkorban di Uhud, maka Allah memerintahkan nabiNya supaya memaafkan mereka jika sekiranya berlaku akibat yang buruk dan memohon keampunan Allah terhadap mereka serta bermesyuarat dengan mereka dalam apa sahaja perkara agar kekalahan tidak berlaku disebabkan kegagalan Syura selepas ini dan akan berlaku penyesalan.

Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam kitan Al-Mu’jamus Saghir

 عند الطبراني في المعجم الصغير، بزيادة في آخره: ما خاب من استخار ، ول ندم من استشار، وما اقتصد من عال

Dari At-Tabrani ditambah pada akhir hadis (Tidak akan kecewa orang yang beristikharah dan tidak
akan menyesal orang yang bermesyuarah dan tidak akan bersusah payah orang yang telah sampai ke
tempat tinggi)

Kesimpulan

Percanggahan pendapat dan pandangan boleh berlaku, namun ketua Syura tidak akan terpengaruh
oleh pendapat sebelah pihak. Tidak ada persetujuan mengikut majority atau minority tetapi keputusan
dipertimbangkan dengan adil setelah bermunajat dan memohon petunjuk dari Allah Taala.

Perjanjian Hudaibiyah

Begitu juga Rasulullah s.a.w. telah bermesyuarat pada Perjanjian Hudaibiyah yang mana Baginda telah
cenderung kepada cadangan kaum musyrikin untuk mengadakan peperangan. Namun Abu Bakr cuba
memberi pendapatnya kepada Baginda katanya “Kita sebenarnya bukan pergi untuk tujuan berperang,
kita hanya pergi untuk mengerjakan umrah dan haji”.

Baginda setuju dengan pendapat Abu Bakr tadi seperti mana yang kita ketahui bahawa telah berlaku
perjanjian dan tidak berlaku peperangan malah Rasulullah s.a.w. telah seimbangkan dua pendapat yang
bertentangan sehingga dalam perjanjian tersebut Rasulullah s.a.w. masih cenderung menyetujui semua
syarat yang diberi oleh kaum musyrikin yang dianggap oleh kaum muslimin sebagai perjanjian yang
tidak adil.

Kesimpulan

Keputusan yang dibuat oleh ketua Syura adalah wahyu atau dinamakan ilham jika keputusan yang
dibuat oleh orang yang bukan maksum selain Nabi dan Rasul. Ilham untuk Syura adalah 7/10 serpihan dari wahyu.

Oleh kerana ia adalah serpihan wahyu, keputusan Syura adalah menjadi perintah Allah yang wajib
dipatuhi walau pun ia bertentangan dengan pandangan atau kehendak kita. Jika setelah kita
melaksanakan keputusan itu berlaku sesuatu yang tidak diingini ia akan menjadi kebaikan di sebalik
apa yang menimpa.

Tidak boleh mempertikaikan keputusan Syura setelah ditetapkan. Jika tidak, kita seakan-akan
menderhakai ketua bererti menderhaka kepada Allah dan RasulNya.

Setiap keputusan Syura walau pun tidak dipersetujui oleh orang ramai tetap akan membawa kebaikan dan hikmah di sebaliknya sekali pun berlaku perkara yang tidak diinginkan itu.

Sabdaan Nabi Tentang Syura

Terdapat banyak riwayat hadis tentang perintah Rasulullah s.a.w. untuk mewujudkan Syura di kalangan
kaum Muslimin.

1) Diriwayatkan oleh Tarmizi daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
إذا كان أمراؤكم شراركم وأغنياؤكم بخلءكم وأمركم إلى نسائكم فبطن الرض خير لكم من ظهرها
“Apabila pemerintah kamu adalah orang yang paling jahat di antara kamu, orang-orang kaya meminggirkan kamu dan perintah-perintah adalah dari perempuan-perempuan kamu, maka perut bumi ini adalah lebih baik menjadi kediaman kamu dari kamu tinggal di permukaannya”.

2) Sabda Rasulullah s.a.w. “ ما تشاور قوم قط إل هدوا لرشد أمرهم ” “Tidak akan bermesyuarat satu kaum melainkan diberi petunjuk kepada pekerjaan yang benar”.

3) Diriwayatkan dari Sahl bin Saad As-Saidi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda
ماشقى قط عبد بمشورة وما سعد باستغناء رأي Tidak akan ditimpa oleh kecelakaan orang yang bermesyuarat dan tidak akan mendapat kebahagiaan/kejayaan orang tidak bermesyuarat sekali pun banyak pendapatnya.

4) Sabda Rasulullah s.a.w. “ المستشار مؤتمن ” “Orang yang bermesyuarat pasti akan disentosakan”.

5) Sabda Rasulullah s.a.w. “ استعينوا على أموركم بالشورى ” “Mintalah bantuan ke atas urusan-urusan kamu dengan bermesyuarat”.

Begitulah sunnah yang telah menjelaskan kewajiban Syura pasti dan diakui kebenarannya seperti mana juga dalil di dalam Al-Quran. Wajib kami memperingatkan perkara yang penting di sini bahawa sunnah bukan sahaja diistilahkan oleh ahli fekah bagi menetapkan hukum syarak bahkan ia merupakan suatu hukum dari semua hukum-hukum syarak yang wajib diterima dan dilaksanakan.

Nas-nas yang menunjukkan kewajiban syura samada di dalam Al-Quran atau pun hadis Rasulullah s.a.w. ialah nas yang pasti(Qat’iy) tidak mungkin dapat ditakwilkan/ditafsirkan lagi untuk alasan tidak wajib dilaksanakan.

Apabila sesuatu hukum telah diijmakkan oleh para ulamak(disepakati) sebagai mana dalil di dalam Al-Quran itu ialah hujah yang wajib dilaksanakan, maka ia akan menjadi undang-undang Islam yang wajib diikuti dan dilaksanakan oleh umat Islam.

Kesimpulan

Sunnah adalah juga menjadi hujah bagi sekelian umat Islam dan menjadi dasar dari dasar-dasar
perundangan Islam yang wajib ke atas mereka. Ia menjadi sumber kedua yang disepakati oleh para
ulamak selepas Al-Quran.

Bab Keempat : Siapakah Ahli Syura

Ulamak-ulamak terdahulu telah berbincang mengenai Syura berhubung dengan hadis yang diriwayatkan. Perbincangan ini juga adalah proses Syura di kalangan ulamak untuk menetapkan hukum dan perundangan Islam. Kata mereka Syura ialah proses perbincangan untuk mendapat satu keputusan dalam konteks perlantikan khalifah, imam dan ketua-ketua. Proses pemilihan khalifah atau lain-lain pemilihan ini adalah yang menandakan istilah Syura. Proses ini hendaklah memenuhi syaratsyarat yang layak dalam bidang kuasa ahli Syura.

Di antara ulamak yang terdahulu menentukan kategori yang layak sebagai ahli Syura dalam bidang kuasa pemilihan iaitu ulamak mazhab Hanafi yang terkemuka dan diakui kepintarannya. Setengah ulamak tidak menyatakan tentang sifat peribadi syura kerana ditegah oleh syarak membuka keaiban mereka tetapi mereka hanya mengatakan bahawa Ahli Syura ialah terdiri dari orang-orang yang berpengaruh.

Kata Mawardi menentukan syarat-syarat yang layak menjadi ahli Syura iaitu mereka yang mahir berijtihad, ijmak dan ulamak ummah yang mampu berijtihad dan menetapkan hukum berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Imam Qurtubi pula telah menukilkan dari Ibnu ‘Athiyah iaitu mereka yang mahir di bidang ilmu dan bidang agama dan dinukilkan oleh Ibnu Khuwaiz Mindad bahawa mereka ialah ulamak, ketua-ketua masyarakat atau kaum, ketua Ahlil Kitab dan para menteri diRaja.

Imam Muhammad Abduh mengatakan bahawa mereka ialah ulamak mujtahidin, para menteri, pemimpin Negara, ketua tentera, semua pemimpin serta para pembantunya yang sentiasa dirujuk oleh masyarakat mengenai hajat keperluan dan kebajikan mereka.

Manakala ulamak zaman ini memahami bahawa ahli Syura ialah golongan yang merujuk kepada urusan pemerintah terhadap masyarakat, ahli-ahli perundangan dengan takrif yang dipersetujui ramai namun bersalahan jika dihuraikan sepenuhnya tentang pengertian Syura pada kacamata Islam. Firman Allah Taala :

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ ٦:١١٦

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan
mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)”. [Al-An’am : 116]

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mengikut kata-kata orang kebanyakan untuk membuat satu keputusan seperti pilihanraya yang ada zaman ini memilih pemimpin mengikut majority masyarakat adalah benar-benar menyimpang dari jalan kebenaran.

Apabila kita hendak menghuraikan pendapat-pendapat sebelumnya, kita akan dapati ia lebih hampir dengan kebenaran dan pengertian yang paling mendalam dalam rangka mencapai tujuan yang dikehendaki yang disusun untuk peraturan undang-undang yang fleksibel. Nas yang berasal dari keharmonian masa yang berbeza juga persekitaran dan pandangan yang luas dari golongan orang-orang berpengaruh untuk memasukkan bidang kuasa dalam setiap aspek kehidupan yang berbeza. Ia akan menghasilkan nilai contoh bagi masyarakat kita dengan contoh yang paling baik untuk diikuti.

Syed Rasyid mengatakan bahawa wajib di dalam masyarakat ada beberapa orang lelaki yang memiliki pandangan yang jauh, pendapat mereka digunapakai di bidang politik, ekonomi dan social, mampu
menyatakan hukum di dalam Al-Quran dan Hadis dalam apa sahaja keadaan yang berlaku dalam urusan
pemerintah. Mereka inilah yang dinamakan Ahli Syura di dalam Islam. Mereka adalah di kalangan orang yang berpengaruh yang juga dinamakan oleh masyarakat lain Pengganti Ummah yang mewakili masyarakat.

Syarat-syarat Kelayakan Ahli Syura

1) Lelaki. Wanita layak untuk kaumnya sahaja.
2) Akil Baligh, kanak-kanak tidak layak.
3) Islam, tidak layak orang kafir menentukan
bidang agama.
4) Adil ketika memilih dan menentukan.
5) Berilmu dan diterima orang ramai.
6) Berpandangan hikmah.
7) Mempunyai pengetahuan umum.
8) Berbudipekerti
9) Menjadi ketua suatu kaum atau kumpulan.
10) Berpengaruh

Syarat-syarat di atas adalah bagi Syura yang bermesyuarat secara sunnah seperti mana yang kita
maksudkan manakala cara mesyuarat yang lain boleh diubah syarat-syaratnya mengikut kehendak
mereka.

Bilangan Ahli Syura Untuk Sesuatu Bidang

1) Bidang pemilihan khalifah, pemimpin, ketua dan imam mempunyai 3-6 orang ahli Syura.
2) Bidang kebajikan dan dakwah mempunyai 2-9 orang ahli Syura.
3) Bidang pengawasan dan ketenteraan mempunyai 5-seramai-ramainyanya ahli Syura.
4) Bidang perundangan Islam mempunyai 4-8 orang mujtahid ahli Syura.

Para ulamak bersalahan pendapat mengenai bilangan ahli Syura dalam memilih khalifah dan
seumpamanya. Ada setengah kaum lebih suka ijmak ahli Syura yang ramai wakil dari rakyatnya.


....klik di sini....
1) Erti Bai'ath 2) Jemaah Panji Iman 3)Agenda Bani Jawi 4)Sejarah Bani Jawi 5)Sejarah Pulau Besar